Suatu ketika, di zaman Rasulullah saw, berlaku suatu peperangan di antara orang-orang Islam dengan orang kafir musyrikin. Pada ketika itu, terdapat seorang pemuda soleh, usianya baru sahaja dalam lingkungan 15 tahun. Di usia semuda itu beliau sudah berazam untuk menyerahkan segala harta yang dimiliki ke jalan Allah, hanya tinggal kuda dan pedangnya sahaja sebagai bekalan untuk berperang.
Ketika tentera-tentera Islam lain sedang sibuk bersiap-siap untuk berangkat ke medan perang, pemuda ini juga turut berada dalam kalangan yang terawal. Beliau sangat rajin menguruskan unta-unta dan kuda-kuda tunggangan pasukan, serta sering menjaga tentera-tentera Islam yang lain ketika mereka sedang tidur.
Perjalanan bermula. Sesampainya mereka di suatu daerah, tiba-tiba pemuda ini berteriak;
"Aku ingin bertemu dengan 'Ainul Mardhiah!"
Mereka lain yang mendengarnya berasa sedikit hairan, takut-takut jikalau fikirannya sudah mula terganggu. Lalu seorang sahabat pun bertanya kepada pemuda itu;
"Siapakah 'Ainul Mardhiah itu?"
Lantas pemuda itu menjawab;
"Tadi, ketika aku tertidur sebentar, aku bermimpi. Seseorang datang kepadaku dan berkata;
'Pergilah kepada 'Ainul Mardhiah'.
Dia kemudiannya mengajakku masuk ke dalam sebuah taman yang sangat indah, di mana terdapat sungai yang mengalir di bawahnya. Di tepiannya pula ada bidadari-bidadari yang duduk dengan memakai perhiasan yang indah-indah. Bila mereka melihatku, dengan gembiranya mereka berkata;
'Inilah suami 'Ainul Mardhiah!'
Aku pun lantas memberi salam dan bertanya yang mana satu di antara mereka itu yang bernama 'Ainul Mardhiah. Mereka lantas menjawab;
'Tidak, kami ini pembantunya. Teruskan perjalananmu.'
Maka aku pun terus berjalan lalu sampai ke sebuah taman yang lebih indah dan terjumpa sekumpulan bidadari yang lebih cantik. Kutanyakan soalan yang sama seperti tadi, dan masih mendapat jawapan yang sama. Mereka adalah pembantu 'Ainul Mardhiah.
Aku kemudiannya meneruskan perjalananku lagi, sehingga akhirnya aku sampai di sebuah mahligai yang diperbuat daripada mutiara berwarna putih. Salah seorang bidadari yang menunggu di pintu mahligai itu berkata;
'Hai 'Ainul Mardhiah. Ini suamimu telah datang!'
Lantas aku masuki mahligai itu, kulihat seorang bidadari yang cantik jelita, teramat indah, sedang duduk di atas sofa emas yang ditaburi permata dan yaqut. Ketika aku hendak mendekatinya, dia berkata;
'Bersabarlah, kamu belum diizinkan untuk lebih dekat kepadaku, kerana roh kehidupan dunia masih ada di dalam dirimu.'
Lalu kemudiannya aku terjaga daripada mimpiku. Dan aku tidak sabar lagi menanti bidadariku terlalu lama."
Seusai percakapannya, tiba-tiba muncul sekumpulan musuh seramai 9 orang menyerbu kumpulan tentera tersebut. Lantas pemuda soleh tersebut antara yang terus bangkit dan menyerang mereka. Setelah pertempuran itu berakhir, kelihatan pemuda tersebut berlumuran darah akibat luka-luka dibadannya, namun beliau tetap tersenyum, hinggalah nyawanya melayang daripada jasad.
Menurut suatu riwayat, cerita ini dikhabarkan kepada Rasulullah saw oleh sahabat kepada pemuda soleh tadi. Dan Rasulullah kemudiannya mengatakan bahawa ianya benar, Rasulullah saw mengkhabarkan dan pemuda soleh tadi sedang menunggu untuk berbuka puasa bersama bidadarinya, 'Ainul Mardhiah di syurga.
'Ainul Mardhiah by Inteam
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang berfikir." (QS. 30:21)
0 comments:
Post a Comment